Penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah warisan daripada Sultan Idris Training College (SITC)
for Malay Teachers. Penubuhan SITC diilhamkan oleh R. O. Winstedt yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah
Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menerusi laporannya yang disiarkan dalam tahun
1917. Antara lain beliau mencadangkan agar sebuah maktab perguruan didirikan di Perak bagi memperluaskan skop
pendidikan di negara ini.
*kredit Palapes UPSI
SITC dirasmikan pada 29 November 1922 oleh Sir W.
George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu. Nama Sultan Idris adalah diambil sempena nama
Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursidul Adzam Shah, iaitu Sultan
Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara 1889-1916.
Cadangan nama ini
diperkenankan oleh Sultan Abdul Jalil Shah pada 26 Mei 1917. Berikutan
itu, satu tapak seluas 63 ekar telah
dibeli di Tanjong Malim dengan harga RM49,000.00. Kerja-kerja
pembinaannya bermula pada Ogos 1919. Penekanan
infrastruktur maktab tersebut telah diberikan oleh pihak berkuasa
dengan membabitkan orang perseorangan dan
syarikat-syarikat swasta Eropah. Pendawaian sistem elektrik dan
bekalan air telah dilakukan dengan teliti dan
dikemaskini bagi memastikan bekalan elektrik dan air tidak terputus.
Turut menyaksikan upacara penuh gilang-gemilang tersebut ialah orang kenamaan Melayu dan beberapa
orang Pegawai Residen Eropah dari semua Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. SITC didirikan
di satu kawasan lembah yang subur di atas tanah seluas 64 hektar di kaki Banjaran Titiwangsa. Reka bentuk
bangunannya berunsur seni bina Belanda ala Gothic zaman pertengahan. Kumpulan penuntut yang pertama berjumlah
120 orang (semuanya lelaki) berasal dari Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan tenaga pengajar seramai 14 orang. Pada tahun 19212, Pengetua pertama telah memulakan tugas di SITC iaitu O. T. Dussek yang berasal dari England.
120 orang (semuanya lelaki) berasal dari Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan tenaga pengajar seramai 14 orang. Pada tahun 19212, Pengetua pertama telah memulakan tugas di SITC iaitu O. T. Dussek yang berasal dari England.
Penubuhan SITC dianggap sebagai suatu cetusan era
yang menyemarakkan alam pemikiran dan pendidikan bangsa Melayu. Pengarah
Pelajaran Negeri-negeri Selat, Sir Wolffe dalam ucapannya sewaktu
perasmian SITC menyatakan bahawa hari tersebut menandakan hari
bersejarah bagi orang-orang Melayu kerana ia merupakan titik tolak dalam
perkembangan pendidikan vernakular Melayu. Menurutnya lagi, orang-orang
Melayu merasakan suatu pengiktirafan besar, serta penghargaan yang
tidak ada tolak bandingnya bagi peningkatan taraf pelajaran anak-anak
Melayu. Katanya lagi, biarpun pelajaran Inggeris penting bagi mencapai
hasrat untuk memperolehi kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, namun
pendidikan dalam bahasa Melayu merupakan tapak pertama dalam mengenali
erti hidup yang sebenar.
Sir Wolffe juga menyarankan agar pelajar-pelajar
patut mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang pertanian,
anyaman, latihan jasmani, perkebunan dan Bahasa Melayu sendiri. Saranan
beliau merupakan garis kasar pembentukan kurikulum SITC di peringkat
awal penubuhannya. Dalam tahun-tahun berikutnya hingga tahun 1957, SITC
telah menerima penuntut-penuntut dari seluruh pelusuk Tanah Melayu,
Brunei, British Borneo dan Singapura. Kurikulumnya tertumpu kepada
pengetahuan asas keguruan di samping kraftangan dan pertanian. Sejak
ditubuhkan, SITC terus unggul berbakti kepada bangsa dan negara. Ia
disifatkan ‘universiti’ yang unggul bagi melatih guru-guru Melayu. Pada
tahun 1959, bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak, SITC ditukarkan
namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang khusus untuk
melatih guru-guru sekolah rendah.
Pada 13 Januari 1975, MPSI memecah tradisinya
apabila mula menerima 140 orang penuntut perempuan. Kecemerlangan MPSI
terus unggul apabila pada 21 Februari 1987, ia dinaikkan taraf menjadi
institut dan dikenali dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris
(IPSI). Mulai tahun 1987, Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK)
diperkenalkan. Setahun kemudian iaitu dalam tahun 1988, Kursus Perguruan
Lepasan Ijazah (KPLI) pula dimulakan di IPSI. Dalam tahun 1993, Kursus
Kembar dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah diadakan dalam
bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani. Status quo ini berterusan
hingga tahun 1993 apabila sistem latihan perguruan mengamalkan sistem
bersepadu iaitu sesebuah maktab perguruan melatih guru-guru untuk
sekolah rendah dan menengah.
Kini institusi ini dinaikkan taraf menjadi sebuah
universiti bagi memenuhi hasrat kerajaan memberi peluang pendidikan
yang lebih tinggi kepada rakyat khususnya untuk melahirkan golongan
pendidik yang berwibawa serta mampu menghadapi cabaran di alaf baru. Ia
selaras dengan usaha memenuhi keperluan peningkatan pembinaan sumber
tenaga manusia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan sahsiah
mulia dalam bidang-bidang sains, teknologi, bahasa, kesenian,
kesusasteraan dan kebudayaan dengan penekanan khusus kepada unsur
pendidikan.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
ditubuhkan pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133,
bertarikh 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah
Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah
Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997. UPSI mula beroperasi
pada 2 Mei 1997 dengan pelajarnya seramai 350 orang yang terdiri
daripada berbagai etnik. Dengan berbekalkan tenaga pengajar seramai 29
orang dan 6 orang kakitangan pentadbiran, UPSI terus membangun. Kini
jumlah pelajarnya terus meningkat dari masa ke semasa dan terus
berkembang serta mampu bersaing dengan mana-mana Institusi Pengajian
Tinggi Awam yang lain.
VISI
Menjadi Universiti yang bitara, cemerlang dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta meneraju perubahan globalMISI
Menjana dan menatar ilmu menerusi pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat, dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negaraMOTO
PENDIDIKAN GEMILANG MENUJU WAWASAN*kredit Palapes UPSI