Tuesday, April 30, 2013

Sejarah Penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim

Penubuhan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) adalah warisan daripada Sultan Idris Training College (SITC) for Malay Teachers. Penubuhan SITC diilhamkan oleh R. O. Winstedt yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu menerusi laporannya yang disiarkan dalam tahun 1917. Antara lain beliau mencadangkan agar sebuah maktab perguruan didirikan di Perak bagi memperluaskan skop pendidikan di negara ini.
SITC dirasmikan pada 29 November 1922 oleh Sir W. George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Nama Sultan Idris adalah diambil sempena nama Almarhum DYMM Paduka Seri Sultan Idris Mursidul Adzam Shah, iaitu Sultan Perak yang ke-28 yang memerintah negeri Perak antara 1889-1916. Cadangan nama ini diperkenankan oleh Sultan Abdul Jalil Shah pada 26 Mei 1917. Berikutan itu, satu tapak seluas 63 ekar telah dibeli di Tanjong Malim dengan harga RM49,000.00. Kerja-kerja pembinaannya bermula pada Ogos 1919. Penekanan infrastruktur maktab tersebut telah diberikan oleh pihak berkuasa dengan membabitkan orang perseorangan dan syarikat-syarikat swasta Eropah. Pendawaian sistem elektrik dan bekalan air telah dilakukan dengan teliti dan dikemaskini bagi memastikan bekalan elektrik dan air tidak terputus.
Turut menyaksikan upacara penuh gilang-gemilang tersebut ialah orang kenamaan Melayu dan beberapa orang Pegawai Residen Eropah dari semua Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. SITC didirikan di satu kawasan lembah yang subur di atas tanah seluas 64 hektar di kaki Banjaran Titiwangsa. Reka bentuk bangunannya berunsur seni bina Belanda ala Gothic zaman pertengahan. Kumpulan penuntut yang pertama berjumlah
120 orang (semuanya lelaki) berasal dari Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan tenaga pengajar seramai 14 orang. Pada tahun 19212, Pengetua pertama telah memulakan tugas di SITC iaitu O. T. Dussek yang berasal dari England.
Penubuhan SITC dianggap sebagai suatu cetusan era yang menyemarakkan alam pemikiran dan pendidikan bangsa Melayu. Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat, Sir Wolffe dalam ucapannya sewaktu perasmian SITC menyatakan bahawa hari tersebut menandakan hari bersejarah bagi orang-orang Melayu kerana ia merupakan titik tolak dalam perkembangan pendidikan vernakular Melayu. Menurutnya lagi, orang-orang Melayu merasakan suatu pengiktirafan besar, serta penghargaan yang tidak ada tolak bandingnya bagi peningkatan taraf pelajaran anak-anak Melayu. Katanya lagi, biarpun pelajaran Inggeris penting bagi mencapai hasrat untuk memperolehi kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, namun pendidikan dalam bahasa Melayu merupakan tapak pertama dalam mengenali erti hidup yang sebenar.
Sir Wolffe juga menyarankan agar pelajar-pelajar patut mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang pertanian, anyaman, latihan jasmani, perkebunan dan Bahasa Melayu sendiri. Saranan beliau merupakan garis kasar pembentukan kurikulum SITC di peringkat awal penubuhannya. Dalam tahun-tahun berikutnya hingga tahun 1957, SITC telah menerima penuntut-penuntut dari seluruh pelusuk Tanah Melayu, Brunei, British Borneo dan Singapura. Kurikulumnya tertumpu kepada pengetahuan asas keguruan di samping kraftangan dan pertanian. Sejak ditubuhkan, SITC terus unggul berbakti kepada bangsa dan negara. Ia disifatkan ‘universiti’ yang unggul bagi melatih guru-guru Melayu. Pada tahun 1959, bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak, SITC ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) yang khusus untuk melatih guru-guru sekolah rendah.
Pada 13 Januari 1975, MPSI memecah tradisinya apabila mula menerima 140 orang penuntut perempuan. Kecemerlangan MPSI terus unggul apabila pada 21 Februari 1987, ia dinaikkan taraf menjadi institut dan dikenali dengan nama Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI). Mulai tahun 1987, Kursus Sijil Perguruan Khas (KSPK) diperkenalkan. Setahun kemudian iaitu dalam tahun 1988, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) pula dimulakan di IPSI. Dalam tahun 1993, Kursus Kembar dengan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) telah diadakan dalam bidang Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani. Status quo ini berterusan hingga tahun 1993 apabila sistem latihan perguruan mengamalkan sistem bersepadu iaitu sesebuah maktab perguruan melatih guru-guru untuk sekolah rendah dan menengah.
Kini institusi ini dinaikkan taraf menjadi sebuah universiti bagi memenuhi hasrat kerajaan memberi peluang pendidikan yang lebih tinggi kepada rakyat khususnya untuk melahirkan golongan pendidik yang berwibawa serta mampu menghadapi cabaran di alaf baru. Ia selaras dengan usaha memenuhi keperluan peningkatan pembinaan sumber tenaga manusia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan dan sahsiah mulia dalam bidang-bidang sains, teknologi, bahasa, kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan dengan penekanan khusus kepada unsur pendidikan.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditubuhkan pada 1 Mei 1997 melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 132 & 133, bertarikh 24 Februari 1997, di bawah dua buah Perintah iaitu Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perbadanan) 1997 dan Perintah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus) 1997. UPSI mula beroperasi pada 2 Mei 1997 dengan pelajarnya seramai 350 orang yang terdiri daripada berbagai etnik. Dengan berbekalkan tenaga pengajar seramai 29 orang dan 6 orang kakitangan pentadbiran, UPSI terus membangun. Kini jumlah pelajarnya terus meningkat dari masa ke semasa dan terus berkembang serta mampu bersaing dengan mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Awam yang lain.

VISI

Menjadi Universiti yang bitara, cemerlang dalam kepimpinan pendidikan berlandaskan kegemilangan sejarah serta meneraju perubahan global

 

MISI

Menjana dan menatar ilmu menerusi pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan khidmat masyarakat, dalam konteks pembangunan insan untuk mencapai wawasan negara

MOTO

PENDIDIKAN GEMILANG MENUJU WAWASAN

*kredit Palapes UPSI

Monday, April 29, 2013

Suluh Budiman, Muzium Pendidikan Nasional Di Universiti Pendidikan Sultan Idris






Bangunan induk SITC ini mula dibina pada bulan Ogos 1919 dan siap sepenuhnya pada Jun 1922. Ia menjadi mercu tanda maktab terunggul di Tanah Melayu pada waktu itu yang dirasmikan pembukaannya pada 29 November 1922 oleh W.G Maxwell, iaitu Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.  Upacara perasmian ini merupakan satu peristiwa yang amat bersejarah dan meriah. Ia telah dihadiri oleh pembesar-pembesar kerajaan Melayu dan juga pembesar-pembesar Tanah Jajahan Inggeris.

Di kiri kanan jalan masuk ke bangunan ini, pelajar kumpulan pertama maktab telah mengadakan satu perbarisan kehormatan menyambut ketibaan para jemputan. Antara kenamaan yang hadir di majlis tersebut ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah, Raja Muda Perak, Raja Bendahara, Raja Di Hilir, Raja Kecil Bongsu dan Datuk Panglima Kinta. Turut sama menyaksikan upacara gilang gemilang itu ialah beberapa orang pegawai Residen bangsa Eropah dari Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pegawai-pegawai pelajaran yang turut hadir ialah Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat, Tuan Wolffe dan Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Tuan Small dan Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Selangor, Encik Kassim.

Upacara perasmian SITC telah disempurnakan dengan menggunakan anak kunci yang diperbuat daripada perak. Pada anak kunci tersebut tertulis kata-kata ”Maktab Untuk Guru-Guru Melayu”.  Sebagai tanda kenangan pada hari perasmian SITC, penduduk Tanjong Malim yang diwakili oleh Penghulu Tanjong Malim, Encik Eusope bin Ahmad, telah menghadiahkan sepucuk meriam kepada SITC. Meriam tersebut digunakan oleh Raja Mahadi dalam peperangan dengan Tengku Kudin pada abad ke-19. Meriam tersebut kini tersimpan di bangunan Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

Pengetua melayu pertama di MPSI adalah Zainal Abidin Ali. Jumlah penuntut SITC bagi kumpulan pertama adalah seramai 120 orang sebagai permulaan untuk mengikuti kursus selama 3 tahun dan mula beroperasi pada 29 November 1922. Semua pelajar terdiri daripada pelajar lelaki. Tenaga pengajarnya pula terdiri dari tiga orang Eropah, tujuh orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina. Pada tahun 1957, bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak SITC ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) khususnya untuk melatih guru-guru sekolah rendah.   
    
Bangunan dua tingkat yang diperbuat daripada simen konkrit dan berlantai kayu bahagian atasnya mempunyai reka bentuk Roman dan Gothic. Plan bangunan ini dilakar oleh seorang arkitek terkenal dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bernama Kesteven. Tukang-tukang yang membinanya dibawa daripada Tanah Jawa dan juga buruh mahir berbangsa Cina. Bangunan ini mempunyai keluasan lantai 3,239 meter persegi.

Di bahagian atasnya dijadikan pusat pentadbira utama SITC yang mengandungi bilik pengetua, bilik guru, bilik mesyuarat, pejabat am, Pejabat Karang Mengarang dan Khutub Khanah. Manakala di bahagian bawahnya pula adalah Dewan Besar tempat perhimpunan bulanan atau upacara-upacara rasmi maktab. Di bahagian hadapan Dewan Besar dibina sebuah pentas serba guna untuk mengadakan acara-acara tertentu seperti acara perasmian, pertunjukan, ceramah, bahas, lakonan, teater dan lain-lain. 


Nama “Bangunan Suluh Budiman” diambil sempena cogankata SITC “Pengetahuan Suluh Budiman” yang diilhamkan oleh seorang guru matematik dan senaman iaitu Cikgu Md. Hanafiah bin Md. Saman yang berasal dari negeri Selangor. Kini, bangunan ini dijadikan pejabat pentadbiran Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda UPSI, selain mempunyai bilik DiRaja dan VIP, khas untuk menerima tetamu penting Universiti. Bangunan ini telah diwartakan sebagai aset dan tapak Muzium Pendidikan Nasional yang baru.

Wednesday, April 24, 2013

Kasih ibu sepanjang zaman

Alqomah merupakan seorang pemuda yang sangat rajin beribadat. Pada suatu, dia jatuh sakit secara tiba-tiba. Isterinya menyuruh seseorang memberitahu Nabi Muhammad tentang keadaan suaminya yang sakit kuat dan dalam keadaan nazak sakaratul maut.

Apabila menerima berita ini, Nabi menyuruh Bilal, Ali, Salama dan Amma melihat keadaan Alqomah. Apabila mereka sampai di rumah Alqomah, mereka membantunya membacakan kalimah Lailaaha¬illah tetapi Iidah Alqomah tidak mampu menyebutnya.

Setelah melihat keadaan Alqomah yang semakin menghampiri akhir usia, mereka menyuruh Bilal memberitahu Nabi. Apabila Bilal sampai di rumah Nabi, maka Bilal menceritakan segala hal yang berlaku di rumah Alqomah.

Lalu Nabi bertanya kepada Bilal, “Apakah ayah Alqomah masih hidup?”

Jawab Bilal, “Tidak, ayahnya sudah meninggal, tetapi ibunya masih hidup dan sangat tua usianya.”

Kemudian Nabi berkata lagi, “Pergilah kamu menemui ibunya dan sampaikan salamku. Katakan kepadanya kalau dia dapat berjalan, suruh dia datang berjumpaku. Kalau dia tidak dapat berjalan, katakan aku akan ke rumahnya.”

Apabila tiba di rumah ibu Alaqomah, ibunya mengatakan bahawa dia ingin menemui Nabi. Lalu ibu Alqomah mengambil tongkat dan terus berjalan menuju ke rumah Nabi. Sebaik tiba, dia memberi salam dan duduk di hadapan Nabi.

“Ceritakan kepadaku perkara yang sebenar tentang Alqomah. Jika kamu berdusta, nescaya akan turun wahyu kepadaku,” kata Nabi kepada ibunya.

Berkata Nabi lagi, “Bagaimana keadaan Alqomah?”

Jawab ibunya, “Alqomah sangat rajin beribadat, menunaikan sembahyang, berpuasa dan sangat suka bersedekah sehingga tidak diketahui banyaknya.”

Nabi bertanya lai, “Bagaimana hubungan kamu dengan dia?”

Jawab ibunya, “Aku sangat marah kepadanya.”

Lalu Nabi bertany, “Mengapa?”

“Kerana dia lebih mengutamakan isterinya daripada diriku dan menuruti kata-kata isterinya sehingga dia menentangku.”

“Atas kemarahan kamu itulah, lidahnya telah terkunci dari mengucap kalimah Lailahaillallah,” kata Nabi.

Kemudian Nabi menyuruh Bilal mencari kayu api utuk membakar Alqomah. Apabila ibu Alqomah mendengar perintah tersebut, dia bertanya, “Wahai Rasullullah, kamu hendak membakar anakku di depan mataku? Bagaimana hatiku dapat menerimanya?”

Nabi berkata “Siksa Allah itu lebih berat dan kekal, oleh itu jika kamu mahu Allah ampunkan dosa anakmu itu, maka hendaklah kamu mengampuninya. Demi Allah yang jiwaku di tangannya, tidak akan berguna sembahyangnya, sedekahnya, selagi kamu murka kepadanya.”

Maka berkata ibu Alqomah sambil mengangkat kedua tangannya, “Ya Rasullullah, aku persaksikan kepada Allah di langit dan kau ya Rasullullah dan mereka-mereka yang hadir di sini bahawa aku redha pada anakku Alqomah.”

Kemudian Nabi mengarahkan Bilal pergi melihat Alqomah sambil berkata, “Pergilah kamu wahai Bilal, lihat sama ada Alqomah dapat mengucap La ilaha illallah atau tidak.”

“Aku khuatir, kalau-kalau ibu Alqomah mengucapkan itu semata-mata kerana pada aku dan bukan dan hatinya,” sambung Nabi.

Apabila Bilal sampai di rumah Alqomah tiba-tiba terdengar suara Alqomah menyebut, “La ilaha illallah.”

Lalu Bilal masuk sambil berkata, “Wahai semua orang yang berada di sini. Ketahuilah sesungguhnya kemarahan seorang ibu menghalang Alqomah dari mengucapkan kalimah La ilaha illallah. Dan kerana redha ibunyalah maka Alqomah dapat menyebut kalimah syahadat.” Maka matilah Alqomah pada waktu sebaik sahaja dia mengucap.

Apabila Nabi sampai di rumah Alqomah, mereka segeralah mandi dan kafankan lalu disembahyangkan oleh Nabi. Sesudah dikuburkan maka Nabi berkata sambil berdiri dekat kubur, “Wahai sahabat Muhajirin dan Ansar. Sesiapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya, maka dia dilaknat oleh Allah dan ibadat fardu dan sunatnya tidak diterima Allah.”

*kisah seribu teladan