Monday, April 29, 2013

Suluh Budiman, Muzium Pendidikan Nasional Di Universiti Pendidikan Sultan Idris






Bangunan induk SITC ini mula dibina pada bulan Ogos 1919 dan siap sepenuhnya pada Jun 1922. Ia menjadi mercu tanda maktab terunggul di Tanah Melayu pada waktu itu yang dirasmikan pembukaannya pada 29 November 1922 oleh W.G Maxwell, iaitu Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.  Upacara perasmian ini merupakan satu peristiwa yang amat bersejarah dan meriah. Ia telah dihadiri oleh pembesar-pembesar kerajaan Melayu dan juga pembesar-pembesar Tanah Jajahan Inggeris.

Di kiri kanan jalan masuk ke bangunan ini, pelajar kumpulan pertama maktab telah mengadakan satu perbarisan kehormatan menyambut ketibaan para jemputan. Antara kenamaan yang hadir di majlis tersebut ialah DYMM Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah, Raja Muda Perak, Raja Bendahara, Raja Di Hilir, Raja Kecil Bongsu dan Datuk Panglima Kinta. Turut sama menyaksikan upacara gilang gemilang itu ialah beberapa orang pegawai Residen bangsa Eropah dari Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pegawai-pegawai pelajaran yang turut hadir ialah Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat, Tuan Wolffe dan Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Tuan Small dan Penolong Nazir Sekolah-Sekolah Selangor, Encik Kassim.

Upacara perasmian SITC telah disempurnakan dengan menggunakan anak kunci yang diperbuat daripada perak. Pada anak kunci tersebut tertulis kata-kata ”Maktab Untuk Guru-Guru Melayu”.  Sebagai tanda kenangan pada hari perasmian SITC, penduduk Tanjong Malim yang diwakili oleh Penghulu Tanjong Malim, Encik Eusope bin Ahmad, telah menghadiahkan sepucuk meriam kepada SITC. Meriam tersebut digunakan oleh Raja Mahadi dalam peperangan dengan Tengku Kudin pada abad ke-19. Meriam tersebut kini tersimpan di bangunan Muzium Pendidikan Nasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim.

Pengetua melayu pertama di MPSI adalah Zainal Abidin Ali. Jumlah penuntut SITC bagi kumpulan pertama adalah seramai 120 orang sebagai permulaan untuk mengikuti kursus selama 3 tahun dan mula beroperasi pada 29 November 1922. Semua pelajar terdiri daripada pelajar lelaki. Tenaga pengajarnya pula terdiri dari tiga orang Eropah, tujuh orang guru Melayu dan seorang guru anyaman dari Filipina. Pada tahun 1957, bagi memenuhi tuntutan Laporan Razak SITC ditukarkan namanya kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) khususnya untuk melatih guru-guru sekolah rendah.   
    
Bangunan dua tingkat yang diperbuat daripada simen konkrit dan berlantai kayu bahagian atasnya mempunyai reka bentuk Roman dan Gothic. Plan bangunan ini dilakar oleh seorang arkitek terkenal dari Negeri-Negeri Melayu Bersekutu bernama Kesteven. Tukang-tukang yang membinanya dibawa daripada Tanah Jawa dan juga buruh mahir berbangsa Cina. Bangunan ini mempunyai keluasan lantai 3,239 meter persegi.

Di bahagian atasnya dijadikan pusat pentadbira utama SITC yang mengandungi bilik pengetua, bilik guru, bilik mesyuarat, pejabat am, Pejabat Karang Mengarang dan Khutub Khanah. Manakala di bahagian bawahnya pula adalah Dewan Besar tempat perhimpunan bulanan atau upacara-upacara rasmi maktab. Di bahagian hadapan Dewan Besar dibina sebuah pentas serba guna untuk mengadakan acara-acara tertentu seperti acara perasmian, pertunjukan, ceramah, bahas, lakonan, teater dan lain-lain. 


Nama “Bangunan Suluh Budiman” diambil sempena cogankata SITC “Pengetahuan Suluh Budiman” yang diilhamkan oleh seorang guru matematik dan senaman iaitu Cikgu Md. Hanafiah bin Md. Saman yang berasal dari negeri Selangor. Kini, bangunan ini dijadikan pejabat pentadbiran Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda UPSI, selain mempunyai bilik DiRaja dan VIP, khas untuk menerima tetamu penting Universiti. Bangunan ini telah diwartakan sebagai aset dan tapak Muzium Pendidikan Nasional yang baru.

0 Commento: